Sunday, December 21, 2008

KEFAHAMAN YANG SEBENAR TENTANG BIDA'H


Bida'h dari segi bahasa:

Untuk memudahkan kita memahami bida'h dan mendapat kefahaman tentang perkara tersebut dengan pemahaman yang betul(sohih) kita mestilah mengetahui penta'rifnya terlebih dahulu.

Bida'h bermaksud "Sesuatu perkara baru dan apa yang dicipta dalam urusan agama setelah sempurnanya agama tersebut"( Mu'jam Asasi). Ulama telah berpendapat pembahagiannya dari segi bahasa;

Ibnu Sakit: "Bida'h merupakan semua perkara baru, dan kebanyakkan perkara baru yang dilakukan oleh pelakunya secara u'ruf (adat) merupakan sesuatu yang dicela."

Abu Adnan: "Orang yang melakukan bida'h ialah orang yang melakukan sesuatu perkara yang mana perkara tersebut tidak pernah dilakukannya, dan seseorang yang mencipta sesuatu perkara iaitu orang pertama yang melakukan sesuatu perkara yang tidak ada orang lain yang melakukan perkara tersebut sebelumnya"

Bida'h dari segi syara':

Secara ringkasnya terdapat dua cara yang digunakan oleh ulama-ulama kita dalam memberikan pengertian bida'h dari segi syara'. Cara-cara tersebut ialah:

1- Cara yang pertama: Iaitu cara Sulthonul Ulama I'zuddin bin Abdul Salam yang mengungkapkan bidaa'h dengan ungkapan, sesuatu perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan beliau membahagikannya kepada beberapa hukum.

Sepertimana yang diungkapkan oleh beliau didalam kitabnya Al-Qawaid bida'h merupakan sesuatu perbuatan yang tidak pernah dilakukan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. dan ianya terbahagi kepada beberapa bahagian: "Bida'h wajib, bida'h haram, bida'h sunat, bida'h makruh, dan bida'h harus. Dan jalan untuk menilai perkara tersebut adalah dengan menggunakan kaedah-kaedah syara', seandainya perkara tersebut termasuk didalam kaedah-kaedah wajib maka ianya merupakan bida'h yang wajib, sekiranya perkara tersebut termasuk didalam kaedah-kaedah haram maka ianya merupakan bidaa'h yang haram, sekiranya perkara tersebut termasuk didalam kaedah-kaedah sunat maka ianya merupakan bida'h yang sunat, sekiranya perkara tersebut termasuk didalam kaedah-kaedah makruh maka ianya merupakan bida'h yang makruh, sekiranya perkara tersebut dalam kaedah-kaedah harus maka ianya merupakan bida'h yang harus"

Makna bidaa'h tersebut dikuatkan lagi oleh Imam Nawawi sepertimana kata-kata beliau yang dinaqalkan oleh Ibnu Hajar Al-Asqolani didalam kitabnya Fathul Bari: "Setiap perkara yang tidak berlaku didalam zaman Nabi Muhmmad s.aw dinamakan bida'h, akan tetapi sebahagian daripada perkara tersebut adalah bida'h hasanah(baik) dan sebahagian lagi sebaliknya iaitu bida'h mazmumah(yang dikeji).

2- Cara yang kedua: Iaitu cara ulama'-ulama' yang menjadikan pengertian bida'h dari segi syara' lebih khusus daripada daripada pengertiannya dari segi bahasa, maka mereka menjadikan bida'h merupakan bidaa'h mazmumah(yang dikeji) sahaja. Sepertimana yang dikatakan oleh Ibnu Rejab Al-hambali yang tercatit didalam kitab Jamiu'l U'lum Walahkam:

" Maksud bida'h ialah sesuatu perkara baru yang tidak ada asalnya dari syara' yang menunjukkan tentang perkara tersebut, dan adapun perkara yang ada asal dalam syara' maka ianya bukanlah bida'h, ianya merupakan bidaa'h dari segi bahasa sahaja."

Pada hakikatnya tiada perbezaan diantara dua pengertian dan pemahaman tersebut, perbezaan yang wujud diantara keduanya hanyalah cara untuk sampai kepada kefahaman yang disepakati tersebut. Bida'h Mazmumah yang mendapat dosa oran yang melakukannya ialah bida'h yang tidak ada asalnya di dalam syariat islam, dan itulah yang dimaksudkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim kitabnya Sohih Muslim:

Maksudnya: "setiap bida'h itu dholalah(sesat) "

Ini merupakan kefahaman yang jelas dan sorih daripada para imam fuqaha', dan para ulama'. Jesteru itu Imam Al-baihaqi telah meriwayatkan kata2 Imam Syafie didalam kitab karangannya "Manaqibul As-Syafie":

" Perkara-perkara baru terbahagi kepada dua, yang pertama: Perkara-perkara baru yang menyalahi Al-Quran, As-Sunnah, atau Ijma' maka ianya adalah bida'h dholalah(sesat), kedua: Perkara-perkara baru baru daripada perkara yang baik tidak bertentangan daripada salah satu perkara diatas maka ini adalah perkara baru yang tidak dicela(bida'h hasanah).

Telah berkata Hujjatul Islam Abu Hamid Al-Ghazali didalam kitab Al-Ihya': "Bukanlah semua perkara yang dicipta(bida'h) ditegah daripada dilakukan, bahkan yang ditegah adalah bida'h yang bertentangan dengan sunnah yang telah thabit, dan perkara yang telah ditetapkan syara"

Imam Nawawi telah menaqalkan kata-kata Sulthonul Ulama' I'zuddin bin Abdul Salam didalam kitab Tahzib Al-Asma' Wal-Lughat: " Syeikh Izuddin bin Abdul Salam telah berkata di akhir kitab Al-Qawaid, bida'h terbahagi kepada beberapa pembahagian, wajib, haram, sunat, harus…" dan Imam Nawawi telah berkata sepertimana itu juga ketika membincangkan hukum bersalaman selepas solat didalam kitabnya Al-Azkar: " Ketahuilah sesungguhnya bersalaman disunatkn dalam setiap pertemuan, dan apa yang dilakukan oleh manusia bersalaman selepas solat Subuh dan Asar tidak ada asal dalam agama, akan tetapi tidak mengapa melakukannya, sesungguhnya asal bersalaman itu adalah sunat "

Telah berkata Ibnu Athir didalam kitabnya An-Nihayah: " Bida'h itu dua bahagian: " Bida'h huda(ada petunjuk) bida'h dholal(sesat) bida'h sesat ialah bida'h yang bertentangan dengan apa yang disuruh oleh Allah dan Rasulnya maka ianya berada dalam kedudukan yang dikeji dan mungkar, manakala sesuatu perkara yng berada ditempat yang umum tidak diharuskan Allah dan tidak digalakkan oleh nabi maka ianya berada dalam kedudukan yang dipuji." Dan kemudian beliau berkata: "Bida'h Hasanah pada hakikatnya merupakan sunnah, dan dita'wilkan apa yang terkandung didalam hadis :"Setiap perkara baru adalah bida'h" adalah perkara yang tidak bertentangan dengan usul syariat dan tidak bertentangan dengan sunnah.

Begitu sepertimana yang dikatakan oleh Ibnu Manzur dalam memberikan pengertian bida'h dari segi istilah: " Bida'h huda(ada petunjuk) bida'h dholal(sesat) dan bida' sesat ialah bida'h yang bertentangan dengan apa yang disuruh oleh Allah dan Rasulnya maka ianya berada dalam kedudukan yang dikeji dan mungkar, manakala sesuatu perkara yng berada ditempat yang umum tidak diharuskan Allah dan tidak digalakkan oleh nabi maka ianya berada dalam kedudukan yang dipuji"

Tidak sepatutnya perkara tersebut bertentangan dengan apa yang telah ditetapkan oleh syara', kerana Rasulullah telah menjanjikan pahala kepada mereka yang memulakan bida'h hasanah. Sabda beliau: "Barang siapa yang memulakan sesuatu perkara yang baik maka dia akan mendapat pahalanya dan pahala orang yang beramal dengan perbuatan tersebut." Dan Nabi telah bersabda: " barangsiapa memulakan sesuatu perkara yang buruk maka dia akan mendapat dosanya dan dosa orang yang beramal dengan perbuatan tersebut"(Sohih Muslim).

Saidina Umar telah berkata: "Sebaik-baik bida'h ini". Apabila sesuatu perkara itu merupakan sebahagian daripada perkara-perkara yang baik dan termasuk didalam kedudukan yang terpuji, maka dia menamakannya bidaa'h dan memujinya, kerana Nabi Muhammad tidak melakukannya, Nabi hanya solat secara berjemaah selama beberapa malam kemudian meninggalkan perkara tersebut, serta perkara tersebut tidak dilakukan pada zaman Saidina Abu Bakar, oleh kerana itu dinamakan perkara tersebut bida'h, dan pada hakikatnya perkara tersebut adalah sunnah Nabi bersabda: "Hendaklah kamu mengikut sunnahku dan sunnah khulafau' Rasyiddin selepasku.

Bagaimanakah penilaian ulama-ulama kita terhadap bida'h?

Jumhur(majoriti) ulama' telah berpendapat bida'h terbahagi kepada beberapa bahagian, sepertimana yang telah dikatakan oleh ulama-ulama kita:

Mazhab Syafie: Imam Syafie, dan pengikut-pengikutnya Izuddin bin Abdul Salam, Imam Nawawi, dan Abu Syamah.

Mazhab Maliki: Al-Qarafi,Az-Zarqani

Mazhab Hanafi: Ibnu Jauzi

Mazhab Zohiri: Ibnu Hazmi

Disini bolehlah diselarikan pendapat-pendapat tersebut berdasarkan penta'rifan yang ditetapkan oleh Sulthonul Ulama' I'zuddin bin Abdul Salam didalam kitabnya Al-Qawaid, bida'h terbahagi kepada beberapa pembahagian, wajib contohnya: Mempelajari ilmu nahu yang digunakan untuk memahami kalam Allah, dan ini wajib kerana pembelajaran ilmu tersebut perlu untuk melindungi syariah, dan sesuatu yang tampanya tidak sempurna perkara yang wajib maka hukumnya adalah wajib, Bid'ah yang haram, seperti Mazhab Qadariyyah, Jabariyyah, Murjiah, Mujassimah. Bid'ah sunat seperti membina madrasah, sekolah. Bid'ah makruh seperti memperhiaskan masjid. bid'ah Harus seperti Bersalaman selepas solat Subuh dan Asar. Ulama-ulama' tersebut menguatkan hujah mereka yang bida'h itu terbahagi kepada lima bahagian berdasarkan pelbagai dalil, diantaranya:

1. Kata-kata Saidina Umar tentang solat terawih secara berjemaah di masjid: "Sebaik-baik bida'h ini"

عن عبد الرحمن بن عبد القاري أنه قال خرجت مع عمر بن الخطاب رضي عنه ليلة في رمضان فقد روي الله عنه ليلة في رمضان إلى المسجد فإذا الناس أوزاع متفرقون يصلي الرجل لنفسه ويصلي الرجل فيصلي بصلاته الرهط فقال عمر إني أرى لو جمعت هؤلاء على قارئ واحد لكان أمثل ثم عزم فجمعهم على أبي بن كعب ثم خرجت معه ليلة أخرى والناس يصلون بصلاة قارئهم قال عمر نعم البدعة هذه والتي ينامون عنها أفضل من التي يقومون يريد آخر الليل وكان الناس يقومون أوله


Maksudnya: Daripada ‘Abd al-Rahman bin ‘Abd al-Qari, katanya: Pada satu malam di bulan Ramadan aku keluar bersama Sidina ‘Umar bin al-Khattab radhiallahu 'anh ke masjid. Ketika itu orang ramai berselerakan. Ada yang solat bersendirian, ada pula yang bersolat dan sekumpulan (datang) mengikutinya. ‘Umar berkata: “Jika aku himpunkan mereka pada seorang imam adalah lebih baik.” Kemudian beliau melaksanakannya maka dihimpunkan mereka dengan (diimamkan oleh) Ubai bin Ka‘ab. Kemudian aku keluar pada malam yang lain, orang ramai bersolat dengan imam mereka (Ubai bin Ka‘ab). Berkata ‘Umar: “Sebaik-baik bid‘ah adalah perkara ini, sedangkan mereka yang tidur (solat pada akhir malam) lebih dari apa yang mereka bangun (awal malam).” (Riwayat Al-Bukhary)

2. Ibnu Umar menamakan Solat Dhuha yang dilakukan secara berjemaah di masjid sebagai bida'h dan ianya merupakan diantara perkara-perkara yang baik.


روي عن مجاهد قال:" دخلت أنا و عروة بن الزبير المسجد فاذا عبد الله بن عمر جالس الى حجرة عائشة, واذا ناس يصلون في المسجد صلاة الضحى, فسألناه عن صلاتهم, فقال: بدعة" (صحيح البخاري)

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Mujahid beliau telah berkata: Aku telah masuk bersama Urwah bin Zubair ke dalam masjid ketika itu Abdullah bin Umar sedang duduk di dalam bilik Aisyah dan sekolompok mausia sedang solat Dhuha berjemaah di dalam masjid, maka kami bertanya beliau tentang solat mereka, maka beliau menjawab: bida'h.

3. Hadis-hadis yang memberi faedah kepada pembahagian bida'h kepada hasanah dan saiyiah.


قال النبي: "من سن سنة حسنة, فله أجرها وأجر من عمل بها الى يوم القيامة, ومن سن سنة سيئة, فعليه وزرها ووزر من عمل بها الى يوم القيامة"

Maksudnya: "Barang siapa yang memulakan sesuatu perkara yang baik maka dia akan mendapat pahalanya dan pahala orang yang beramal (mengikuti) perbuatan tersebut, dan barangsiapa yang memulakan sesuatu perkara yang buruk maka dia akan mendapat dosanya dan dosa orang yang beramal (mengikuti) perbuatan tersebut sehingga hari kiamat"(Sohih Muslim).

Daripada perbincangan diatas telah jelas kepada kita terdapat dua pendapat tentang bida'h. Pendapat yang (ijmal)ringkas iaitu pendapat yang diutarakan oleh Ibnu Rejab Al-hambali dan selainnya, sesungguhnya perbuatan-perbuatan seseorang yang diberikan pahala sekiranya melakukannya dan disyaria'tkan supaya melakukannya tidaklah dinamakan bida'h dari segi syara' dan ianya merupakan bida'h dari segi lughah. Dan beliau bermaksud perkara tersebut tidak dinamakan bida'h mazmumah dari segi syara'. Dan pendapat yang kedua pendapat yang tafsil(terperinci) sepertimana yang telah disebut oleh Izuddin bin Abdul Salam, apa yang kita mahukan adalah pendapat yang terperinci seperti yang disdbut oleh Izuddin bin Abdul Salam.

Jesteru itu berdasarkan apa yang telah kita perbincangan diharap sahabat-sahabat dapat memahami masalah tersebut secara sempurna, kerana seandainya kita gagal memahaminya ianya boleh memberikan kesan buruk dalam pemikiran kita secara khususnya dan umat Islam yang lain secara umumnya. Begitu juga cara kita menilainya dalam permasalahan feqah. Kita dapat lihat sebahagian daripada saudara kita jahil dalam menghukum saudara-saudara yang lain dengan mengatakan saudaranya itu ahli bida'h, ahli fasiq, ahli neraka dan lain sedangkan pada hakikatnya merekalah yang gagal menguasai perkara tesebut, dan hanya mengambil sebahagian pandangan ulama' sebagai hujah mereka. Kita mohon perlindungan daripada Allah diatas kejahilan mereka terhadap perkara yang telah jelas ini. Marilah kita sama-sama memohon keselamatan dan rahmat dari tuhan. Wallahua'lam.


Rujukan : Kitab Al-Bayan
Karangan : Mufti mesir - Dr. Ali Jumah

13 comments:

Anonymous said...

Silalah anda melayari link-link berikut bagi memperoleh jawapan yang berlawanan dgn artikel ini... Smg anda menilai yang manakah yang sebetulnya takrifan bidaah yang tepat berdasarkan al-quran & as-sunnah...

http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=8127

http://www.4shared.com/dir/747805/750a9ab1/sharing.html

http://www.darulkautsar.com/article.php?ArticleID=642

http://www.darulkautsar.com/article_cat.php?CategoryID=101

Anonymous said...

Salah Faham Terhadap Ucapan ‘Umar al-Khattab

Sesetengah pihak cuba berdalil dalam membolehkan bid‘ah dengan menyatakan bahawa Saiyyidina ‘Umar radhiallahu 'anh turut telah membuat bid‘ah. Mereka berkata, pada zaman Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tidak ada Solat Tarawih berjamaah lalu ‘Umar melakukannya dan menyatakannya sebagai: “Sebaik-baik bid‘ah” (نعمت البدعة هذه).

Yang mereka maksudkan ialah apa yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dalam Shahihnya dan al-Imam Malik dalam al-Muwattha’:

عَنْ عَبْدِالرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدٍ الْقَارِيِّ أَنَّهُ قَالَ: خَرَجْتُ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِي اللَّه عَنْهم لَيْلَةً فِي رَمَضَانَ إِلَى الْمَسْجِدِ. فَإِذَا النَّاسُ أَوْزَاعٌ مُتَفَرِّقُونَ يُصَلِّي الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ وَيُصَلِّي الرَّجُلُ فَيُصَلِّي بِصَلاَتِهِ الرَّهْطُ. فَقَالَ عُمَرُ: إِنِّي أَرَى لَوْ جَمَعْتُ هَؤُلاَءِ عَلَى قَارِئٍ وَاحِدٍ لَكَانَ أَمْثَلَ ثُمَّ عَزَمَ فَجَمَعَهُمْ عَلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ. ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً أُخْرَى وَالنَّاسُ يُصَلُّونَ بِصَلاَةِ قَارِئِهِمْ. قَالَ عُمَرُ: نِعْمَ الْبِدْعَةُ هَذِهِ وَالَّتِي يَنَامُونَ عَنْهَا أَفْضَلُ مِنِ الَّتِي يَقُومُونَ. يُرِيدُ آخِرَ اللَّيْلِ وَكَانَ النَّاسُ يَقُومُونَ أَوَّلَهُ.

Daripada ‘Abd al-Rahman bin ‘Abd al-Qari, katanya: Pada satu malam di bulan Ramadan aku keluar bersama dengan ‘Umar bin al-Khattab radhiallahu 'anh ke masjid. Di dapati orang ramai berselerakan. Ada yang solat bersendirian, ada pula yang bersolat dan sekumpulan (datang) mengikutinya.

‘Umar berkata: “Jika aku himpunkan mereka pada seorang imam adalah lebih baik.” Kemudian beliau melaksanakannya maka dihimpunkan mereka dengan (diimamkan oleh) Ubai bin Ka‘ab. Kemudian aku keluar pada malam yang lain, orang ramai bersolat dengan imam mereka (Ubai bin Ka‘ab).

Berkata ‘Umar: “Sebaik-baik bid‘ah adalah perkara ini, sedangkan yang mereka tidur (solat pada akhir malam) lebih dari apa yang mereka bangun (awal malam).”[1]

Berdasarkan riwayat di atas, ada yang tersalah sangka dengan menganggap ‘Umar bin al-Khattab adalah orang yang pertama memulakan Solat Tarawih secara berjamaah. Maka dirumuskan bahawa ia adalah satu perbuatan bid‘ah yang dianggap baik oleh ‘Umar. Justeru boleh membuat bid‘ah di dalam ibadah asalkan ia dilakukan dengan niat yang baik.

Sebenarnya rumusan seperti ini muncul kerana kurang membaca hadith-hadith Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah melakukan Solat Tarawih secara berjamaah dan ini jelas tertera dalam kitab-kitab hadith, seperti dalam Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim. Hadith yang dimaksudkan berasal daripada ‘Aisyah radhiallahu 'anha:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ لَيْلَةً مِنْ جَوْفِ اللَّيْلِ فَصَلَّى فِي الْمَسْجِدِ وَصَلَّى رِجَالٌ بِصَلاَتِهِ. فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا. فَاجْتَمَعَ أَكْثَرُ مِنْهُمْ فَصَلَّى فَصَلَّوْا مَعَهُ. فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا. فَكَثُرَ أَهْلُ الْمَسْجِدِ مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى فَصَلَّوْا بِصَلاَتِهِ. فَلَمَّا كَانَتِ اللَّيْلَةُ الرَّابِعَةُ عَجَزَ الْمَسْجِدُ عَنْ أَهْلِهِ حَتَّى خَرَجَ لِصَلاَةِ الصُّبْحِ. فَلَمَّا قَضَى الْفَجْرَ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ فَتَشَهَّدَ ثُمَّ قَالَ: أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّهُ لَمْ يَخْفَ عَلَيَّ مَكَانُكُمْ وَلَكِنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْتَرَضَ عَلَيْكُمْ فَتَعْجِزُوا عَنْهَا فَتُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالأَمْرُ عَلَى ذَلِكَ .

Sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar pada suatu pertengahan malam. Baginda solat di masjid (Masjid Nabi). Beberapa orang mengikut solat baginda (menjadi makmum). Pada pagi (esoknya) orang ramai bercerita mengenainya. Maka berkumpullah lebih ramai lagi orang (pada malam kedua). Baginda bersolat dan mereka ikut solat bersama. Pada pagi (esoknya) orang ramai bercerita mengenainya. Maka bertambah ramai ahli masjid pada malam ketiga. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar bersolat dan mereka ikut solat bersama.

Apabila malam keempat, masjid menjadi tidak muat dengan ahli. (Baginda tidak keluar) sehingga pada waktu solat subuh. Selesai solat subuh, baginda mengadap orang ramai, bersyahadah seraya bersabda: “Amma ba’d, sesungguhnya bukan aku tidak tahu penantian kalian (di masjid pada malam tadi) tetapi aku bimbang difardukan (Solat Tarawih) ke atas kalian lalu kalian tidak mampu.[2] Hal sebegini berlaku sehingga Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam wafat.[3]

Dalam sebahagian riwayat al-Bukhari dan Muslim disebut: “…yang demikian berlaku pada bulan Ramadhan.” (وذلك في رمضان) s[4]

Hadith ini dengan jelas menunjukkan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam adalah yang pertama memulakan Solat Tarawih secara berjamaah dengan satu imam. Walaubagaimanapun baginda tidak melakukannya secara berterusan, bukan kerana ia perbuatan yang salah tetapi kerana bimbang ia menjadi satu kewajipan. Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam wafat, kebimbangan ini tidak wujud lagi, maka dengan itu ‘Umar meneruskan semula Solat Tarawih secara berjamaah. Justeru ‘Umar al-Khattab bukanlah orang yang pertama memulakannya secara berjamaah.

al-Imam al-Syatibi rahimahullah menegaskan:

Renungi hadith ini. Ia menunjukkan kedudukan Solat Tarawih adalah sunat. Sesungguhnya solat baginda pada peringkat awal menjadi dalil menunjukkan kesahihan menunaikannya di masjid secara berjamaah pada bulan Ramadan. Baginda tidak keluar selepas itu adalah kerana bimbang ia difardukan. Ini tidak menunjukkan ia dilarang secara mutlak kerana zaman baginda ialah zaman wahyu dan tasyri’ (perundangan) (sehingga) ada kemungkinan akan diwahyukan kepada baginda sebagai satu kewajipan jika manusia mengamalkannya. Apabila telah hilang ‘illah al-tasyri’[5] dengan wafatnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam maka ia kembali kepada asalnya.[6]

Timbul persoalan seterusnya, mengapakah Abu Bakr radhiallahu 'anh tidak menghimpunkan orang ramai untuk melakukan Solat Tarawih secara berjamaah? Untuk mengetahui jawapannya, kita merujuk sekali lagi kepada penjelasan al-Imam al-Syatibi rahimahullah:

Adapun (sebab) Abu Bakr tidak mendirikannya adalah kerana salah satu daripada berikut, sama ada (pertama) dia berpendapat solat orang ramai pada akhir (malam) lebih afdal padanya dari dihimpunkan mereka dengan satu imam pada awal malam. Ini disebut oleh al-Turtusyi (الطرطشي) ataupun (kedua) disebabkan kesempitan waktu pemerintahannya[7] untuk melihat perkara-perkara cabang seperti ini sedangkan beliau sibuk dengan golongan murtad dan selainnya yang mana lebih utama daripada Solat Tarawih.[8]

Timbul persoalan kedua, kenapakah ‘Umar al-Khattab radhiallahu 'anh menggelar hal tersebut sebagai satu bid‘ah? Sekali lagi, penjelasan al-Imam al-Syatibi rahimahullah menjadi rujukan:

Dia menamakannya bid‘ah hanya disebabkan pada zahirnya kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah meninggalkannya dan sepakat pula ia tidak berlaku pada zaman Abu Bakr radhiallahu 'anh. Ia bukanlah bid‘ah pada makna (syarak). Sesiapa yang menamakan bid‘ah disebabkan hal ini, maka tiada perlu perbalahan dalam meletakkan nama. Justeru itu tidak boleh berdalil dengannya untuk menunjukkan keharusan membuat bid‘ah.[9]

Jelaslah ucapan ‘Umar bukanlah merujuk kepada bid‘ah yang dilarang oleh syarak tetapi merujuk kepada bid‘ah yang dimaksudkan dari segi bahasa atau keadaan. Ini kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah melakukan Solat Tarawih secara berjamaah lalu berhenti disebabkan faktor penghalang yang dinyatakan tadi. Apabila faktor penghalang telah hilang, maka ‘Umar menghidupkannya semula. Justeru itu beliau menamakannya bid‘ah. Perkataan bid‘ah yang digunakan oleh ‘Umar radhiallahu 'anh hanya merujuk pada segi bahasa, tidak pada segi syarak. Dari segi syarak, ia adalah Sunnah kerana merupakan sesuatu yang pernah berlaku sebelumnya pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
___________________________________

[1]Rujuk Shahih al-Bukhari – hadith no: 2010 (Kitab Solat Tarawih, Bab keutamaan orang yang beribadah pada malam Ramadhan) dan al-Muwattha’
(الموطأ) al-Imam Malik – hadith no: 231 (Kitab seruan kepada solat, Bab apa yang berkenaan solat pada malam Ramadhan).

[2]Saya katakan, Allah tidak mungkin menfardukan sesuatu yang manusia tidak mampu. Namun maksud Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ialah baginda bimbang umat Islam akan gagal atau cuai melakukannya lalu mereka berdosa. Baginda bersifat mengasihi umat, lalu mengelakkan dari ia diwajibkan oleh Allah.

[3]Rujuk Shahih Muslim – hadith no: 761 (Kitab solat musafir dan menqasarkannya, Bab anjuran bersolat pada malam Ramadhan)

[4]Rujuk Shahih al-Bukhari – hadith no: 2011 (Kitab Solat Tarawih, Bab keutamaan orang yang beribadah pada malam Ramadhan)

[5]‘Illah al-Tasyri’ (علة التشريع) bermaksud punca yang menyebabkan diletakkan sesuatu perundangan atau hukum. Dalam kes ini, punca baginda mengelak solat tersebut berjamaah secara berterusan ialah bimbang ia menjadi kewajipan. Baginda tidak ingin membebankan umat dengan suatu kewajipan baru, dibimbangi mereka akan cuai dan akhirnya berdosa.

[6]al-Syatibi, al-I’tishom, m.s. 147.

[7]Saiyyidina Abu Bakr radhiallahu 'anh hanya sempat memerintah dua tahun tiga bulan. (Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah (البداية والنهاية), jld. 7, m.s. 18)

[8]al-Syatibi, al-I’tishom, m.s. 147-148.

[9]al-Syatibi, al-I’tishom, m.s. 148.

Anonymous said...

Salah Faham Terhadap Hadith Sunnah Hasanah

Terdapat sebuah hadith yang disering disalah fahami bagi membolehkan amalan bid‘ah. Hadith yang dimaksudkan ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

مَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ. وَمَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ.

Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun.[10]

Hadith ini dijadikan bukti bahawa tidak mengapa melakukan bid‘ah asalkan ia baik. Ini adalah bukti yang salah hasil daripada kefahaman yang salah. Kefahaman yang benar dapat diperoleh dengan merujuk kepada Sabab al-Wurud (سبب الورود) bagi hadith ini. Jika dalam pengajian tafsir ada bab yang dinamakan Sabab al-Nuzul, maka dalam hadith ia dinamakan Sabab al-Wurud atau Sabab Wurud al-Hadith. Saya ta’rifkan Sabab Wurud al-Hadith sebagai:

ما دعا الحديثَ إلى وجوده، أيام صدوره.

Apa yang membawa kepada kewujudan hadith pada hari-hari kemunculannya[11]

Maksudnya, faktor yang menyebabkan sesebuah hadith itu terbit daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Dalam kata lain, faktor-faktor yang menyebabkan baginda mengucapkan sesuatu ucapan, melakukan sesuatu perbuatan atau mengakui sesuatu tindakan. Memahami sebab-sebab yang menyebabkan terbitnya sesebuah hadith adalah sangat penting bagi mengelakkan kita daripada meletakkan hadith tidak pada tempatnya. Ini kerana kadang-kala sebab terbitnya sesuatu hadith sangat mempengaruhi maksud hadith. Kesalahan dalam memahami sebab terbitnya hadith boleh membawa kepada kesalahan faham kepada maksud hadith. Umpamanya hadith yang di atas ada Sabab al-Wurudnya dan ini boleh dirujuk dalam hadith itu sendiri dalam bentuknya yang lengkap:

عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: جَاءَ نَاسٌ مِنَ الأَعْرَابِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. عَلَيْهِمُ الصُّوفُ. فَرَأَى سُوءَ حَالِهِمْ. قَدْ أَصَابَتْهُمْ حَاجَةٌ. فَحَثَّ النَّاسَ عَلَى الصَّدَقَةِ. فَأَبْطَئُوا عَنْهُ حَتَّى رُئِيَ ذَلِكَ فِي وَجْهِهِ. قَالَ: ثُمَّ إِنَّ رَجُلاً مِنَ لأَنْصَارِ جَاءَ بِصُرَّةٍ مِنْ وَرِقٍ. ثُمَّ جَاءَ آخَرُ ثُمَّ تَتَابَعُوا حَتَّى عُرِفَ السُّرُورُ فِي وَجْهِهِ.

فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ. وَمَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ.

Daripada Jarir bin ‘Abd Allah katanya: Datang sekumpulan Arab Badawi kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka memakai pakaian bulu. Baginda melihat buruknya keadaan mereka. Mereka ditimpa kesusahan. Baginda menggesa orang ramai bersedekah. Namun mereka lambat melakukannya sehingga kelihatan kemarahan pada wajah baginda. (Kata Jarir) Kemudian seorang lelaki daripada golongan Ansar datang dengan sebekas perak (dan mensedekahkannya). Kemudian datang seorang yang lain pula, kemudian orang ramai datang (bersedekah) berturut-turut. Sehingga terlihat kegembiraan pada wajah baginda.

(Melihat yang sedemikian) Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun.[12]

Dengan merujuk Sabab al-Wurud dalam hadis di atas, kita dapat mengetahui bahawa “Sunnah Hasanah” yang dimaksudkan merujuk kepada sedekah yang dianjurkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Ia bukannya satu perbuatan yang tidak memiliki asal usul di dalam syariat. Memulakannya tidak bermaksud memulakan amalan baru, sebaliknya bermaksud memulakan langkah atau tindakan bagi perkara yang sudah ada asal usulnya.

Lebih lanjut, marilah kita merujuk kepada penjelasan al-Syeikh ‘Ali Mahfuz[13] dalam kitabnya al-Ibda’ fi Madarr al-Ibtida’ (الإبداع في مضارّ الابتداع) ketika menjawab kekeliruan orang-orang yang menjadikan hadith ini sebagai hujah bagi membolehkan bid‘ah:[14]

Jawapan terhadap kekeliruan ini ialah, bukanlah maksud memulakan sunnah itu membuat rekaan (baru). Namun maksudnya (ialah memulakan) amalan yang thabit (pasti) daripada sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam … Sesungguhnya sebab yang kerananya terbit hadith ini ialah sedekah yang disyariatkan … (lalu disebut hadith di atas secara lengkap) … hadith ini menunjukkan bahawa yang dikatakan sunnah di sini seperti apa yang dilakukan sahabat tersebut yang membawa sebekas perak. Dengan sebabnya terbukalah pintu sedekah dengan cara yang lebih nyata sedangkan sedekah memang disyariatkan dengan kesepakatan ulama’. Maka jelas maksudnya (“Sesiapa yang memulakan Sunnah Hasanah…”) di sini ialah sesiapa yang beramal. Ini kembali kepada hadith ( من أحيا سنة قد أميتت بعدي فإن له من الإجر…). s[15] Seakan-akan sunnah itu sedang tidur maka sahabat radhiallahu 'anh berkenaan menggerakkannya dengan perbuatannya. Bukan maksudnya mengadakan sunnah yang (sebelumnya) tidak pernah ada.

Dalam Nuzhah al-Muttaqin Syarh Riyad al-Salihin (نزهة المتقين شرح رياض الصالحين) karya Dr. Mustafa al-Bugha[16] dan rakan-rakannya, dijelaskan:[17]

Hadith ini dianggap sebagai asal dalam menentukan Bid‘ah Hasanah dan Saiyyiah. Bersegeranya sahabat, berlumba dan bersaing, dalam bersedekah adalah Bid‘ah Hasanah –seperti yang disebut oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Dari sini difahami bahawa apa yang dikatakan Bid‘ah Hasanah itu adalah sesuatu yang pada asalnya disyarakkan seperti sedekah.

Berkata al-Syeikh Muhammad bin Salih al-‘Utsaimin rahimahullah (1421H)[18]:[19]

Jika kita mengetahui sebab (terbitnya) hadith ini dan meletakkan maknanya dengan betul, maka jelas bahawa yang dimaksudkan dengan “memulakan sunnah” di sini ialah memulakan amal. Bukan memulakan tasyri’ (syariat baru). Ini kerana tasyri’ hanya boleh dimulakan oleh Allah dan Rasul-Nya. Maksud hadith “sesiapa yang memulakan” ialah memulakan amal dengannya dan orang ramai mencontohinya… atau boleh dimaksudkan juga sesiapa yang memulakan jalan yang baik yang menyampaikan kepada ibadah lalu orang ramai mencontohinya. Ini seperti menulis buku, meletakkan bab-bab ilmu, membina sekolah dan sebagainya dimana ia adalah jalan kepada perkara yang dituntut syarak. Apabila seorang insan memulakan jalan yang membawa kepada perkara yang dituntut oleh syarak dan jalan itu pula tidak terdiri daripada yang dilarang, maka dia termasuk dalam hadith ini. Jika makna hadith adalah seperti yang disalah fahami, iaitu seorang insan boleh membuat apa jua syariat yang dia mahu, bererti agama Islam belum sempurna pada (pengakhir) hayat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
___________________________________

[10] Rujuk Shahih Muslim – hadith no: 1017 (Kitab Zakat, Bab suruhan bersedekah sekalipun dengan setengah biji tamar…).

[11] Saya sebut “saya ta’rifkan” kerana penulisan para ulama terdahulu tidak meletakkan ta’rif yang jelas dan kaedah-kaedah yang tetap dalam ilmu ini sekalipun mereka ada menyebut tentang kepentingannya. Alhamdulillah saya telah memperolehi Ph.D dengan menulis tesis dalam subjek ini berjudul: Sabab Wurud al-Hadith: Dirasat Tahliliyyah bi tarkiz khas ‘ala Dawabit wa Ma‘ayir
(سبب ورود الحديث: دراسة تحليلية بتركيز خاص على الضوابط والمعايير) dan menggunakan ilmu ini. Kaedah-kaedah ini adalah kesimpulan daripada penulisan para ulama hadith dan fikh terdahulu dan sekarang yang muktabar.

[12] Rujukan yang sama sebelumnya, Shahih Muslim – hadith no: 1017 (Kitab Zakat, Bab suruhan bersedekah sekalipun dengan setengah biji tamar…).

[13] al-Syeikh ‘Ali Mahfuz semasa hidupnya adalah anggota Pembesar ‘Ulama Universiti al-Azhar. Buku tulisan beliau ini bertujuan memerangi bid‘ah yang banyak berlaku dalam masyarakat. Buku ini mendapat pengiktirafan para ulama al-Azhar dan dijadikan sukatan silibus pelajaran. Beliau meninggal dunia pada tahun 1942. Sila lihat pujian dan pengiktirafan untuk buku ini dalam edisi cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut.

[14] ‘Ali Mahfuz, al-Ibda’ fi Madarr al-Ibtida’, m.s. 128-129. (nukilan berpisah)

[15] Hadith yang dimaksudkan ialah:

مَنْ أَحْيَا سُنَّةً مِنْ سُنَّتِي قَدْ أُمِيتَتْ بَعْدِي فَإِنَّ لَهُ مِنَ الْأَجْرِ مِثْلَ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ.

Sesiapa selepasku yang menghidupkan satu sunnah dari sunnahku yang telah mati, maka baginya pahala seperti orang yang beramal dengannya dengan tidak dikurangkan pahala mereka sedikitpun. Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan Ibn Majah. al-Tirmizi menghasankannya. Akan tetapi yang benar hadis ini tertolak kerana kedua-duanya meriwayatkannya daripada jalan Kathir bin ‘Abd Allah, beliau matruk iaitu dianggap pendusta atau pereka hadith. Justeru itu penilaian yang dibuat oleh al-Imam al-Tirmizi dipertikaikan. Berkata al-Munziri rahimahullah (656H): “Bagi hadith ini ada syawahid (lafaz-lafaz hadith lain yang menyokongnya).” (al-Munziri, al-Tarhib wa al-Targhib, jld. 1, m.s. 47).

[16] Beliau ialah seorang tokoh semasa yang masyhur, bermazhab al-Syafi’i.

[17] Dr. Mustafa al-Bugha, Nuzhah al-Muttaqin Syarh Riyad al-Salihin , jld. 1, m.s. 160.

[18] Beliau ialah Abu ‘Abd Allah Muhammad bin al-Shalih bin Muhammad bin al-‘Utsaimin, seorang ahli fiqh yang terkenal daripada Arab Saudi. Banyak mengarang dan merupakan salah seorang ahli panel majlis fatwa Arab Saudi.

[19] Muhammad bin Salih al-‘Utsaimin, Alfaz wa Mafahim (ألفاظ ومفاهيم), m.s. 53.

Anonymous said...

Dr. Yusuf al-Qaradawi mengingatkan:

Hendaklah seorang muslim dalam ibadahnya mengikut batasan yang ditentukan untuknya. Tidak mencukupi hanya sekadar bertujuan untuk keredhaan Allah semata, bahkan hendaklah ibadah itu dilakukan dalam bentuk yang disyariatkan Allah, dengan kaifiyyat (tatacara) yang diredhai-Nya. Janganlah ibadah seorang muslim itu ialah apa yang yang direka oleh manusia berdasarkan hawa nafsu dan sangkaan. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, al-`Ibadah fi al-Islam, m.s. 170)

Tidak boleh bagi sesiapa pun dari kalangan imam-imam kaum muslimin sekalipun tinggi darjat ilmunya, demikian juga tidak boleh bagi mana-mana badan ilmu sekalipun hebat kedudukannya, demikian juga tidak boleh bagi mana-mana institusi ilmu, atau golongan dari kaum muslimin sama ada kecil atau besar, untuk mencipta (ibtida’) ibadah yang baru dalam agama Allah atau menokok tambah ibadah yang ada dalam agama atau mengubah cara yang dilakukan pada zaman Rasululah shallallahu 'alaihi wasallam. Ini kerana pembuat syari‘at hanyalah Allah manakala al-Rasul (Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam) adalah penyampainya sedangkan kita hanyalah pengikutnya. Segala kebaikan itu dalam al-ittiba’ (mengikut apa yang ditentukan Allah dan Rasul-Nya). [al-`Ibadah fi al-Islam, m.s. 166-167]

Sesungguhnya ruang melakukan rekaan dan membuat perkara baru bukannya dalam agama. Agama hanya berdasar apa yang diturunkan Allah. Wajib kekal terpelihara lagi bersih dari permainan golongan yang sia-sia, penyelewengan golongan melampau, dakwaan golongan sesat dan tafsiran golongan yang jahil. Adapun ruang untuk melakukan rekaan sebenar ialah dalam urusan dunia. Ianya sangat luas dan banyak. Memerlukan keupayaan seni dan rekaan. Namun apabila kaum muslimin mundur, keadaan mereka buruk, urusan mereka rosak dan berpecah masyarakat mereka, urusan mereka menjadi terbalik dan keadaan menjadi sebaliknya. Dalam urusan dunia mereka terhenti menjadi begitu jumud seperti batu atau lebih jumud dari itu. Mereka tidak memulakan rekaan, mengadakan dan menyingkap perkara baru. Slogan mereka: “Golongan awal tidak meninggalkan untuk yang kemudian sedikit pun.” Adapun dalam agama mereka mengadakan rekaan, membuat bid‘ah dalam beragam bentuk ibadah yang tidak diizinkan Allah.Dr. Yusuf al-Qaradawi, [al-`Ibadah fi al-Islam, m.s. 170]

Anonymous said...

Amaran daripada para ulama’ tentang bid‘ah:

Para ulama’, terdiri daripada para sahabat dan para tokoh dulu dan kini, turut memberi amaran tentang bid ‘ah. Di sini disebutkan tiga contoh, satu daripada seorang sahabat, satu daripada seorang tokoh terdahulu dan satu daripada seorang tokoh terkini:

Pertama: Amaran ‘Abd Allah bin Mas‘ud.

‘Abd Allah bin Mas‘ud radhiallahu 'anh adalah sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang begitu terkenal dengan keilmuan dan kefahamannya dalam agama. al-Imam al-Darimi rahimahullah (255H) meriwayatkan amaran serta bantahan beliau terhadap bid‘ah berzikir secara kumpulan yang muncul pada zamannya:

عَنْ عمرو بن سلمة قَالَ: كُنَّا نَجْلِسُ عَلَى بَابِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَبْلَ صَلاَةِ الْغَدَاةِ فَإِذَا خَرَجَ مَشَيْنَا مَعَهُ إِلَى الْمَسْجِدِ فَجَاءَنَا أَبُو مُوسَى الأَشْعَرِيُّ فَقَالَ أَخَرَجَ إِلَيْكُمْ أَبُو عَبْدِ الرَّحْمَنِ بَعْد؟ُ قُلْنَا: لاَ! فَجَلَسَ مَعَنَا حَتَّى خَرَجَ فَلَمَّا خَرَجَ قُمْنَا إِلَيْهِ جَمِيعًا.

فَقَالَ لَهُ أَبُو مُوسَى يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ إِنِّي رَأَيْتُ فِي الْمَسْجِدِ آنِفًا أَمْرًا أَنْكَرْتُهُ وَلَمْ أَرَ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ إِلاَّ خَيْرًا. قَالَ: فَمَا هُوَ؟ فَقَالَ: إِنْ عِشْتَ, فَسَتَرَاهُ. قَالَ: رَأَيْتُ فِي الْمَسْجِدِ قَوْمًا حِلَقًا جُلُوسًا يَنْتَظِرُونَ الصَّلاَةَ, فِي كُلِّ حَلْقَةٍ رَجُلٌ وَفِي أَيْدِيهِمْ حَصًى, فَيَقُولُ: كَبِّرُوا مِائَةً, فَيُكَبِّرُونَ مِائَةً. فَيَقُولُ: هَلِّلُوا مِائَةً. فَيُهَلِّلُونَ مِائَةً. وَيَقُولُ: سَبِّحُوا مِائَةً. فَيُسَبِّحُونَ مِائَةً. قَالَ: فَمَاذَا قُلْتَ لَهُمْ؟ قَالَ: مَا قُلْتُ لَهُمْ شَيْئًا انْتِظَارَ رَأْيِكَ وَانْتِظَارَ أَمْرِكَ.

قَالَ: أَفَلاَ أَمَرْتَهُمْ أَنْ يَعُدُّوا سَيِّئَاتِهِمْ, وَضَمِنْتَ لَهُمْ أَنْ لاَ يَضِيعَ مِنْ حَسَنَاتِهِمْ. ثُمَّ مَضَى وَمَضَيْنَا مَعَهُ حَتَّى أَتَى حَلْقَةً مِنْ تِلْكَ الْحِلَقِ فَوَقَفَ عَلَيْهِمْ, فَقَالَ: مَا هَذَا الَّذِي أَرَاكُمْ تَصْنَعُونَ؟ قَالُوا: يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ حَصًى نَعُدُّ بِهِ التَّكْبِيرَ وَالتَّهْلِيلَ وَالتَّسْبِيحَ. قَالَ: فَعُدُّوا سَيِّئَاتِكُمْ, فَأَنَا ضَامِنٌ أَنْ لاَ يَضِيعَ مِنْ حَسَنَاتِكُمْ شَيْءٌ, وَيْحَكُمْ يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ مَا أَسْرَعَ هَلَكَتَكُمْ! هَؤُلاَءِ صَحَابَةُ نَبِيِّكُمْ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُتَوَافِرُونَ, وَهَذِهِ ثِيَابُهُ لَمْ تَبْلَ, وَآنِيَتُهُ لَمْ تُكْسَرْ, وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنَّكُمْ لَعَلَى مِلَّةٍ هِيَ أَهْدَى مِنْ مِلَّةِ مُحَمَّدٍ, أَوْ مُفْتَتِحُو بَابِ ضَلاَلَةٍ؟!

قَالُوا: وَاللَّهِ يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ مَا أَرَدْنَا إِلاَّ الْخَيْرَ. قَالَ: وَكَمْ مِنْ مُرِيدٍ لِلْخَيْرِ لَنْ يُصِيبَهُ. إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَدَّثَنَا أَنَّ قَوْمًا يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ لاَ يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ وَايْمُ اللَّهِ مَا أَدْرِي لَعَلَّ أَكْثَرَهُمْ مِنْكُمْ ثُمَّ تَوَلَّى عَنْهُمْ.

فَقَالَ عَمْرُو بْنُ سَلَمَةَ: رَأَيْنَا عَامَّةَ أُولَئِكَ الْحِلَقِ يُطَاعِنُونَا يَوْمَ النَّهْرَوَانِ مَعَ الْخَوَارِجِ.

Daripada ‘Amr bin Salamah[7] katanya: “Satu ketika kami duduk di pintu ‘Abd Allah bin Mas‘ud sebelum solat subuh. Apabila dia keluar, kami akan berjalan bersamanya ke masjid. Tiba-tiba datang kepada kami Abu Musa al-Asy‘ari, lalu bertanya: “Apakah Abu ‘Abd al-Rahman[8] telah keluar kepada kamu?” Kami jawab: “Tidak!”. Maka dia duduk bersama kami sehingga ‘Abd Allah bin Mas‘ud keluar. Apabila dia keluar, kami semua bangun kepadanya.

Lalu Abu Musa al-Asy‘ari berkata kepadanya: “Wahai Abu ‘Abd al-Rahman, aku telah melihat di masjid tadi satu perkara yang aku tidak bersetuju, tetapi aku tidak lihat – alhamdulilah – melainkan ianya baik”. Dia bertanya: “Apakah ia?”. Kata Abu Musa: “Jika umur kamu panjang engkau akan melihatnya. Aku melihat satu puak, mereka duduk dalam lingkungan (halaqah) menunggu solat. Bagi setiap lingkungan (halaqah) ada seorang lelaki (ketua kumpulan), sementara di tangan mereka yang lain ada anak-anak batu. Apabila lelaki itu berkata : Takbir seratus kali, mereka pun bertakbir seratus kali. Apabila dia berkata: Tahlil seratus kali, mereka pun bertahlil seratus kali. Apabila dia berkata: Tasbih seratus kali, mereka pun bertasbih seratus kali.” Tanya ‘Abd Allah bin Mas‘ud: “Apa yang telah kau katakan kepada mereka?”. Jawabnya: “Aku tidak kata kepada mereka apa-apa kerana menanti pandangan dan perintahmu”.

Berkata ‘Abd Allah bin Mas‘ud: “Mengapa engkau tidak menyuruh mereka mengira dosa mereka dan engkau jaminkan bahawa pahala mereka tidak akan hilang sedikit pun”. Lalu dia berjalan, kami pun berjalan bersamanya. Sehinggalah dia tiba kepada salah satu daripada lingkungan berkenaan. Dia berdiri lantas berkata: “Apa yang aku lihat kamu sedang lakukan ini?” Jawab mereka: “Wahai Abu ‘Abd al-Rahman! Batu yang dengannya kami menghitung takbir, tahlil dan tasbih”. Jawabnya: “Hitunglah dosa-dosa kamu, aku jamin pahala-pahala kamu tidak hilang sedikit pun. Celaka kamu wahai umat Muhammad! Alangkah cepat kemusnahan kamu. Para sahabat Nabi masih lagi ramai, baju baginda belum lagi buruk dan bekas makanan dan minuman baginda pun belum lagi pecah.[9] Demi yang jiwaku berada di tangan-Nya[10] , apakah kamu berada di atas agama yang lebih mendapat petunjuk daripada agama Muhammad, atau sebenarnya kamu semua pembuka pintu kesesatan?”

Jawab mereka : “Demi Allah wahai Abu ‘Abd al-Rahman, kami hanya bertujuan baik.” Jawabnya : “Betapa ramai yang bertujuan baik, tetapi tidak menepatinya.” Sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah menceritakan kepada kami satu kaum yang membaca al-Quran namun tidak lebih dari kerongkong mereka.[11] Demi Allah aku tidak tahu, barangkali kebanyakan mereka dari kalangan kamu.” Kemudian beliau pergi.

Berkata ‘Amr bin Salamah: “Kami melihat kebanyakan puak tersebut bersama Khawarij memerangi kami pada hari Nahrawan.”[12]

Lihatlah bagaimana ‘Abd Allah bin Mas‘ud radhiallahu 'anh membantah perbuatan ibadah kumpulan ini walaupun mereka pada asalnya memiliki niat dan pandangan yang baik. Pada zahirnya tiada yang buruk pada perbuatan mereka. Namun oleh kerana ia merupakan ibadah yang tidak ada contoh daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam maka ia ditolak. Bahkan ‘Abd Allah bin Mas‘ud memberi amaran betapa perbuatan bid‘ah yang kecil akan mengheret seseorang kepada bid‘ah yang lebih besar. ‘Abd Allah bin Mas‘ud menggambarkan mereka akan menyertai Khawarij yang sesat. Justeru itu ‘Abd Allah bin Mas‘ud juga pernah menyebut:[13]

اقتصاد في سنة خير من اجتهاد في بدعة.

Sederhana dalam sesuatu sunnah lebih baik daripada bersungguh sungguh dalam sesuatu bid‘ah .

إن البدعة الصغيرة بريد إلى البدعة الكبيرة.

Sesungguhnya bid‘ah yang kecil adalah pembawa kepada bid‘ah yang besar.

Kedua: Amaran al-Imam Malik Bin Anas

Seorang lelaki telah datang kepada al-Imam Malik rahimahullah (179H)[14] dan berkata:[15]

“Wahai Abu ‘Abd Allah (gelaran al-Imam Malik) daripada mana aku patut berihram?” Jawab al-Imam Malik: “Daripada Zu Hulaifah (ذو حليفة) di mana tempat yang Rasulullah berihram.” Kata lelaki itu: “Aku ingin berihram daripada Masjid Nabi.” Jawab al-Imam Malik: “Jangan buat (demikian).” Kata lelaki itu lagi: “Aku ingin berihram daripada kubur Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.” Jawab al-Imam Malik: “Jangan buat (demikian), aku bimbang menimpa ke atas dirimu fitnah.” Tanya lelaki itu: “Apa fitnahnya? Ia hanya jarak yang aku tambah.”

Jawab al-Imam Malik:

وأي فتنة أعظم من أن ترى أنك سبقت إلى فضيلة قصّر عنها رسول الله صلى الله عليه وسلم، وإني سمعت الله يقول: فَلْيَحْذَرْ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ.

Apakah lagi fitnah yang lebih besar daripada engkau melihat bahawa engkau telah mendahului satu kelebihan yang Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah menguranginya. Sesungguhnya aku telah mendengar Allah berfirman: (maksudnya) “Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [al-Nur 24:63]

Perhatikan bahawa sekalipun lelaki tersebut ingin berihram daripada tempat yang begitu baik iaitu Masjid Nabi atau kubur baginda shallallahu 'alaihi wasallam, al-Imam Malik rahimahullah membantahnya disebabkan ia adalah ibadah yang tidak dilakukan oleh Nabi. Beliau menyatakan ini adalah fitnah kerana seakan-akan lelaki itu menganggap dia dapat melakukan ibadah yang lebih baik daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.

Ketiga: Amaran al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi:

Ditanya kepada al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, semoga Allah memeliharanya, mengenai amalan Nisfu Sya’ban. Beliau menjawab:[16]

Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban, membaca do‘a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka‘at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do‘a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ianya satu do‘a yang panjang yang menyanggahi nusus (nas-nas al-Quran dan al-Sunnah), juga bercanggahan dan bertentang maknanya...

Perhimpunan (malam Nisfu Sya’ban) seperti yang kita lihat dan dengar berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid‘ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid‘ah golongan selepas mereka dan setiap yang diadakan-adakan itu bid‘ah dan setiap yang bid‘ah itu sesat dan setiap yang sesat itu berada dalam neraka.

Demikian tegasnya tokoh yang masyhur ini terhadap amalan bid‘ah yang menjadi pegangan atau amalan dalam kebanyakan negeri umat Islam.
___________________________________

[7]Beliau adalah seorang tabi`in, anak murid ‘Abd Allah bin Masud. Meninggal dunia pada 85H.

[8]Gelaran untuk `Abd Allah bin Mas`ud.

[9]Maksudnya baginda shallallahu ‘alaihi wasallam baru sahaja wafat, tetapi mereka telah melakukan bid`ah.

[10]Maksudnya Allah.

[11]Ini salah satu sifat Khawarij yang disebut dalam hadith-hadith.

[12]Riwayat al-Darimi di dalam Musnadnya dengan sanad yang dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Shahihah, jld. 5, m.s. 11.

[13]Lihat: Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, jld. 5, m.s. 11.

[14]Beliau ialah imam Mazhab Maliki, pembesar Atba’ al-Tabi‘in. Guru kepada al-Imam al-Syafi'i. Tokoh fekah dan hadith yang tiada tolok bandingnya. Karya beliau yang agung ialah kitab al-Muwattha’. Berkata al-Imam al-Sayuti: “Beliau guru para imam, Imam Dar al-Hijrah (Madinah), mengambil hadith daripadanya oleh al-Syafi‘i dan ramai lagi. Berkata al-Syafi’i: ‘Apabila datangnya athar, maka Malik adalah bintang’.” (al-Imam al-Sayuti, Tabaqat al-Huffaz, jld. 1, m.s. 96)

[15]al-Syatibi, al-I’tishom, m.s. 102.

[16]Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah, jld. 1, m.s. 382-383 (nukilan berpisah).

MUHAMAD AZHAR BIN IBRAHIM YACOB said...

balik2 bidaah semuanya sesat apakah ni je kerja org wahabi

MUHAMAD AZHAR BIN IBRAHIM YACOB said...

Assalamualaikum wbt..Yg dihormati saudara Anonymous soalan sy utk saudara..apa yg saudara faham tntg definisi salaf? Kita perlu faham siapa yg dimaksudkan dgn generasi salaf ni, sebelum kita berani2 menyentuh tntg aqidah salaf & perkara2 yg mereka pegang. jika yg saudara maksudkan seperti yg disabdakan Rasulullah SAW, " sebaik2 generasi adalah generasiku, kemudian generasi berikutnya, dan kemudian generasi yang berikutnya", sy rasa hujjah yg anda bawakan tntg pendirian HT atau mana2 ulama' yg bertentangan dgn generasi salaf wajar dipertikaikan..sekiranya saudara konsisten memegang aqidah salaf & hukum2 yg digali oleh generasi salaf, dan yg selain dari itu x betul & bidaah, x boleh diikuti (krn bukan dari ulama' salaf), so apa komen saudara tntg ilmu ushul fiqh yg digagas pertama kali oleh Imam Syafie?Bukankah beliau org pertama yg meletakkan batu asas ilmu ushul fiqh melalui kitabnya Ar-risalah? one more thing, beliau hidup selepas 3 zaman yg disebutkan oleh Rasulullah di dlm hadith di atas.beliau x termasuk dalam zaman tabi’in, maupun tabi’ut tabi’in. Apakah saudara berani mengatakan apa yg dilakukan oleh Imam Syafie adalh bidaah kerana tdk dilakukan oleh ulama' generasi salaf?

Sekiranya saudara berpendapat merujuk kpd ulama' salaf adalah WAJIB, dan yg lain perlu ditinggalka, so mengapa saudara merujuk Kitab Shahih Bukhari & Muslim? Bukankah kedua2nya dibukukan selepas period salaf? Adakah saudara berani mengatakan bahawa Imam Bukhari dan Muslim melakukan bidaah???

Fokus sbnar kt dlm tajuk ni, bukannya persoalan sama ada ia pernah dibincangkan oleh ulama' salaf atau belum..sesuai dgn ulama' salaf atau x.yg paling penting ialah stand kita, adakah pendapat tersebut sejalan dgn Al-Quran, sunnah, ijma' sahabat & qiyas?Kita juge x perlu nak persoalkan siapa yg menggali hukum tersebut selama mujtahid tu beristinbath sesuai dgn epistomology yg lurus..
"...seseorg layak dinilai sebagai org yg jahat (buruk) jika ia meremehkan saudaranya yg Muslim.." (HR Muslim)

Anonymous said...

1)Persoalan ttg WAHABI... Untuk mengetahui persoalan berkenaan WAHABI.. Jom layarilah link ini :

http://saifulislam.com/?p=1801

http://drmaza.com/home/?p=357

2)Persoalan bidaah semuanya sesat.. Jwpnnya ya... Kalau bidaah dlm istilah syarak maka semuanya sesat... Ttp klu bidaah dr segi bahasa sahaja... Itu perlu diteliti lg...

Anonymous said...

Ta’rif Bid‘ah Dari Segi Istilah (Syarak)

طريقة في الدين مخترعة تضاهي الشرعية يقصد بالسلوك عليها المبالغة في التعبد لله سبحانه

Jalan yang direka di dalam agama, yang menyerupai syariah, tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. [ al-Syatibi, al-I’tishom, m.s 27]

Huraian Terhadap Ta’rif Bid‘ah

Pertama:

Dikaitkan jalan (طريقة) dengan agama kerana rekaan itu dilakukan dalam agama dan perekanya menyandarkan kepada agama. Sekiranya jalan rekaan hanya khusus dalam urusan dunia ia tidak dinamakan bid‘ah, seperti membuat barangan dan kota. Oleh kerana jalan rekaan dalam agama terbahagi kepada apa yang ada asalnya dalam syariat dan kepada apa yang tiada asalnya dalam syariat, maka dimaksudkan dengan ta’rif ini ialah bahagian rekaan yang tiada contoh terdahulu daripada al-Syari’ (Pembuat syariat iaitu Allah Subhanahu wa Ta'ala).

Ini kerana ciri khas bid‘ah ialah ia terkeluar daripada apa yang digariskan oleh al-Syari’. Dengan ikatan ini maka terpisahlah (tidak dinamakan bid‘ah) segala yang jelas – sekalipun bagi orang biasa – rekaan yang mempunyai kaitan dengan agama seperti ilmu nahu, saraf, mufradat bahasa, Usul al-Fiqh, Usul al-Din dan segala ilmu yang berkhidmat untuk syariat. Segala ilmu ini sekalipun tiada pada zaman yang awal, tetapi asas-asasnya ada dalam syarak.

Justeru itu, tidak wajar sama sekali dinamakan ilmu nahu dan selainnya daripada ilmu lisan, ilmu usul atau apa yang menyerupainya yang terdiri daripada ilmu-ilmu yang berkhidmat untuk syariat sebagai bid‘ah. Sesiapa yang menamakannya bid‘ah, sama ada atas dasar majaz (bahasa kiasan) seperti ‘Umar bin al-Khattab radhiallahu 'anh yang menamakan bid‘ah solat orang ramai pada malam-malam Ramadhan, atau atas dasar kejahilan dalam membezakan sunnah dan bid‘ah, maka pendapatnya tidak boleh dikira dan dipegang.[ al-I’tishom, m.s.27-28]

Kedua:

Maksud (تضاهي الشرعية) ialah menyerupai jalan syarak sedangkan ia bukanlah syarak pada hakikatnya. Bahkan ia menyanggahi syarak dari beberapa sudut:

• Antaranya: Meletakkan batasan-batasan[Maksudnya batasan-batasan yang tidak diletakkan oleh syariat] seperti seseorang yang bernazar untuk berpuasa berdiri tanpa duduk, berpanas tanpa berteduh, membuat keputusan mengasing diri untuk beribadah, menghadkan makanan dan pakaian dari jenis tertentu tanpa sebab.[ Ini seperti jamaah tertentu pada zaman kini, di mana di kalangan mereka ada yang menganggap pakaian fesyen baju negeri atau bangsa tertentu seperti kurta India, atau gaya serban guru tarikat mereka sebagai pakaian agama]

• Antaranya: Beriltizam dengan cara (kaifiyyat كيفيات ) dan bentuk (haiat هيئات ) tertentu.[ maksudnya yang tiada dalil syarak] Ini seperti zikir dalam bentuk perhimpunan dengan satu suara, menjadikan perayaan hari lahir Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan seumpamanya.

• Antaranya: Beriltizam dengan ibadah tertentu dalam waktu tertentu sedangkan tidak ada penentuan tersebut dalam syarak. Ini seperti beriltizam puasa pada hari Nisfu Sya’ban dan bersolat pada malamnya .

Kemudian bid‘ah-bid‘ah tersebut disamakan dengan perkara-perkara yang disyariatkan. Jika penyamaan itu adalah dengan perkara-perkara yang tidak disyariatkan maka ia bukan bid‘ah. Ia termasuk dalam perbuatan-perbuatan adat kebiasaan.[ al-Syatibi, al-I’tishom, m.s. 28]

Ketiga:

Maksud (يقصد بالسلوك عليها المبالغة في التعبد لله): “Tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah” ialah menggalakkan ibadah. Ini kerana Allah berfirman:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. [al-Zariyat 51:56]

Seakan-akan pembuat bid‘ah melihat inilah tujuannya. Dia tidak tahu bahawa apa yang Allah tetapkan dalam undang-undang dan peraturan-peraturan-Nya sudah memadai.[ al-I’tishom, m.s. 29]

Seterusnya al-Imam al-Syatibi menjelaskan:

Telah jelas dengan ikatan ini (yang dijelaskan) bahawa bid‘ah tidak termasuk dalam adat. Apa sahaja jalan yang direka di dalam agama yang menyerupai perkara yang disyariatkan tetapi tidak bertujuan beribadah dengannya, maka ia terkeluar dari nama ini (bid‘ah).[ al-I’tishom, m.s. 30]

MUHAMAD AZHAR BIN IBRAHIM YACOB said...

aik bukankah Imam syafie yang mengkelaskan adanya bidaah hasanah dan bidaah dholalah.ok la ana xmenentang wahaby sbb bagi ana wahaby xsesat k la ana still berqunut masa solat subuh adakah itu menyebabkan ana sesat ,ahlul bidaah dan lain2 lagi

Anonymous said...

Ya... Imam Syafei yang membahagikan bidaah kepada dua iaitu Bid‘ah Mahmudah (dipuji) dan Bid‘ah Mazmumah (مذمومة) (dikeji)...

Justeru itu ketika menghuraikan maksud pembahagian bid‘ah oleh al-Imam al-Syafi‘i, al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (852H) berkata:

Maka bid‘ah pada ta’rifan syarak adalah dikeji. Ini berbeza dengan (maksud bid‘ah dari segi) bahasa di mana setiap yang diada-adakan tanpa sebarang contoh dinamakan bid‘ah sama ada dipuji ataupun dikeji.(Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jld. 15, m.s. 179)

Imam Syafei membahagikan bidaah kepada dua kerana penakrifan yang diberikan oleh Imam Syafei terhadap bidaah terlalu umum iaitu setiap perkara yang tidak berlaku pada zaman Rasulullah. Berbeza dengan Imam Syatibi yang terus mentakrifkan bidaah pada sudut istilah syarak. Perbezaan mereka (para ulama) hanyalah pada penakrifan.

Anonymous said...

Persoalan anta berkenaan dengan qunut.

Pertama :

Qunut adalah masalah khilaf fiqhiyyah. Para Imam mempunyai hujahnya yang tersendiri dalam memahami nas al-quran dan hadis.

Kedua :

Adakah menyebabkan ana sesat ,ahlul bidaah dan lain2 lagi?

Kita bukan penghukum seseorang itu sesat atau tidak / ahli syurga atau neraka. Kita hanya menerangkan hukum sesuatu amalan. Setiap amalan manusia akan ditimbang, sesiapa yang berat amal baiknya ke syurga dan sesiapa yang berat amal buruknya akan ke neraka. Kita juga diajar oleh Nabi saw supaya sentiasa beristighfar dan bertaubat .

Anonymous said...

  Perbahasan Bid‘ah Hasanah

Ada beberapa tokoh sarjana Islam, terutamanya tokoh-tokoh mazhab al-Syafi’i, yang telah menyebut dalam kitab-kitab mereka istilah Bid‘ah Hasanah atau yang hampir dengannya, seperti Bid‘ah Mahmudah (بدعة محمودة), bid‘ah wajib, bid‘ah sunat dan bid‘ah harus. Antara tokoh tersebut ialah al-Imam al-Syafi’i (204H), al-Imam al-‘Izz ‘Abd al-Salam (660H), al-Imam al-Nawawi (676H) dan al-Imam al-Sayuti (911H) rahimahumullah.

Akan tetapi apabila diteliti ucapan-ucapan mereka, kita dapati bid‘ah yang mereka maksudkan merujuk kepada Bid‘ah Hasanah dari sudut bahasa, bukan bid‘ah dari segi syarak. Marilah kita mengkaji lebih lanjut ucapan-ucapan mereka:
 
1.Perbahasan Ucapan al-Imam al-Syafi‘i rahimahullah (204H)[3]
 
Berkata Ibn Rajab al-Hanbali rahimahullah (795H):

al-Syafi‘i berkata, “Bid‘ah itu ada dua jenis: Bid‘ah Mahmudah (dipuji) dan Bid‘ah Mazmumah (مذمومة) (dikeji). Apa yang menepati sunnah maka ia dipuji. Apa yang menyanggahi sunnah maka ia dikeji.”
(Ibn Rajab meneruskan) Maksud al-Syafi‘i rahimahullah ialah seperti yang kita sebutkan sebelum ini, bahawa Bid‘ah Mazmumah ialah apa yang tiada asal dari syariat untuk dirujuk kepadanya. Inilah bid‘ah pada istilah syarak. Adapun Bid‘ah Mahmudah ialah apa yang bertepatan dengan sunnah. Iaitu apa yang ada baginya asal untuk dirujuk kepadanya. Ia adalah bid‘ah dari segi bahasa, bukannya dari segi syarak kerana ia menepati sunnah. [Ibn Rajab al-Hanbali, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam (جامع العلوم والحكم), jld. 2, m.s. 52]

Justeru itu ketika menghuraikan maksud pembahagian bid‘ah oleh al-Imam al-Syafi‘i, al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (852H) berkata:

Maka bid‘ah pada ta’rifan syarak adalah dikeji. Ini berbeza dengan (maksud bid‘ah dari segi) bahasa di mana setiap yang diada-adakan tanpa sebarang contoh dinamakan bid‘ah sama ada dipuji ataupun dikeji.[Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jld. 15, m.s. 179]
 
Antara bukti al-Imam al-Syafi‘i tidak memaksudkan bid‘ah dalam ibadah sebagai Bid‘ah Mahmudah ialah bantahan beliau terhadap golongan yang berterusan dalam berzikir secara kuat selepas solat. Amalan ini dianggap Bid‘ah Hasanah oleh sesetengah pihak.

Ketika mengulas hadith  Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh:

Sesungguhnya mengangkat suara dengan zikir setelah orang ramai selesai solat fardu berlaku pada zaman Nabi shallallahu 'alaihi wasallam… al-Imam al-Syafi’i dalam kitab utamanya al-Umm berkata:[al-Syafi'i, Mausu‘at al-Imam al-Syafi'i: al-Umm (موسوعة الإمام الشافعي), jld. 1, m.s. 353]

Pendapatku untuk imam dan makmum hendaklah mereka berzikir selepas selesai solat. Hendaklah mereka mensenyapkan zikir kecuali jika imam mahu dipelajari daripadanya (mengajar bacaan-bacaan zikir tersebut), maka ketika itu dikuatkan zikir. Sehinggalah apabila didapati telah dipelajari daripadanya, maka selepas itu hendaklah dia perlahankan.
 
Adapun hadith Ibn ‘Abbas di atas, al-Imam al-Syafi’i menjelaskan seperti berikut:

Aku berpendapat baginda menguatkan suara (zikir) hanya untuk seketika untuk orang ramai mempelajarinya daripada baginda. Ini kerana kebanyakan riwayat yang telah kami tulis bersama ini[Maksud al-Imam al-Syafi'i ialah apa yang beliau tulis dalam
al-Umm tersebut dalam bab Kalam al-Imam wa Julusihi Ba’d al-Salam
(كلام الإمام وجلوسه بعد السلام) yang mana beliau telah mengemukakan beberapa hadith yang menunjukkan baginda tidak menguatkan suara ketika zikir selepas solat] atau selainnya, tidak menyebut selepas salam terdapat tahlil [Tahlil maksudnya ialah ucapan: لا إله إلا الله] dan takbir. Kadang-kala riwayat menyebut baginda berzikir selepas solat seperti yang aku nyatakan, kadang-kala disebut baginda pergi tanpa zikir. Umm Salamah pula menyebut duduknya baginda[1] (selepas solat) tetapi tidak menyebut baginda berzikir secara kuat. Aku berpendapat baginda tidak duduk melainkan untuk berzikir secara tidak kuat.
Jika seseorang berkata: “Seperti apa?”[2]. Aku katakan, sepertimana baginda pernah bersolat di atas mimbar, yang mana baginda berdiri dan rukuk di atasnya, kemudian baginda undur ke belakang untuk sujud di atas tanah. Kebanyakan umur baginda, baginda tidak solat di atasnya (mimbar). Akan tetapi aku berpendapat baginda mahu agar sesiapa yang jauh yang tidak melihat baginda dapat mengetahui bagaimana berdiri (dalam solat), rukuk dan bangun (dari rukuk). Baginda ingin mengajar mereka keluasan dalam itu semua.
Aku suka sekiranya imam berzikir nama Allah di tempat duduknya sedikit dengan kadar yang seketika selepas kaum wanita pergi. Ini seperti apa yang Umm Salamah katakan. Kemudian imam boleh bangun. Jika dia bangun sebelum itu, atau duduk lebih lama dari itu, tidak mengapa. Makmum pula boleh pergi setelah imam selesai memberi salam, sebelum imam bangun. Jika dia lewatkan sehingga imam pergi, atau bersama imam, itu lebih aku sukai untuknya.

Nyata sekali al-Imam al-Syafi’i rahimahullah tidak menamakan ini sebagai Bid‘ah Hasanah, sebaliknya beliau berusaha agar kita semua kekal dengan bentuk asal yang dilakukan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Seandainya maksud Bid‘ah Mahmudah yang disebut oleh al-Imam al-Syafi’i merangkumi perkara baru dalam cara beribadah yang dianggap baik, sudah tentu beliau akan memasukkan zikir secara kuat selepas solat dalam kategori Bid‘ah Mahmudah. Dengan itu tentu beliau juga tidak akan berusaha menafikannya. Ternyata bukan itu yang dimaksudkan oleh beliau rahimahullah.

___________________________________

[1]Maksud al-Imam al-Syafi'i ialah hadith riwayat Umm Salamah yang beliau sebutkan pada awal bab berkenaan:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا سلم من صلاته قام النساء حين يقضي تسليمه ومكث النبي صلى الله عليه وسلم في مكانه يسيرا قال ابن شهاب فنرى مكثه ذلك والله أعلم لكي ينفذ النساء قبل أن يدركهن من انصرف من القوم

Adalah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam apabila memberi salam dari solat maka kaum wanita akan bangun apabila baginda selesai memberi salam. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pula duduk sekejap ditempatnya selepas solat. Kata Ibn Syihab: Kami berpendapat – Allah lebih mengetahui – tujuannya agar kaum wanita dapat pergi sebelum kaum lelaki keluar. Hadith ini turut diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, al-Nasai, Abu Daud, Ibn Majah dan lain-lain

[2]Maksudnya, apakah contoh perkara yang pernah baginda lakukan hanya seketika kemudian setelah orang ramai mempelajarinya baginda tinggalkan. al-Imam al-Syafi'i menyebut contoh ini untuk menyokong pendapat beliau bahawa zikir selepas solat secara kuat hanya dilakukan oleh baginda pada seketika sahaja, kemudian zikir baginda berzikir secara perlahan.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

2.Perbahasan Ucapan al-Imam ‘Izz al-Din ‘Abd al-Salam rahimahullah (660H)... to be continue