Monday, December 15, 2008

Aplikasi Thalabun Nusrah Didalam Kehidupan


Priode Mekah
<<>>

“Hai orang yang berselimut, bangunlah, lalu berilah peringatan !” {Al-Muddatsir : 1-2}

Perjalanan Da’wah Rasulullah S.A.W di Mekah terbahagi kepada dua tahapan (marhalah).

1. Tahapan pembinaan dan pengkaderan (Marhalah Tasqif) atau da’wah secara sembunyi.

• Baginda secara diam-diam (siriyyah) mula mengajak masyarakat untuk memeluk Islam dan berpegang kepada mabda’ (Ideologi) Islam.
• Selama tiga tahun baginda menyampaikan da’wah dalam bentuk ajakan tersebut.
• Dari rumah Arqam bin Abi Arqam sahabat-sahabat baginda dibina dan dikader(Ditarbiah) dengan bersungguh-sungguh serta terus menerus oleh baginda Rasulullah sendiri.
• Kemudian diantara para sahabat yang sudah berjaya ditarbiah pula diutus untuk menyampaikan da’wah kepada orang lain.

Memang da’wah ini dilakukan secara senyap-senyap, tetapi bukan bermakna Rasulullah S.A.W takut untuk melaksanakannya secara terang-terangan, kerana Baginda sudah dijamin keselamatannya oleh Allah S.W.T andainya baginda melakukan da’wah terus secara terang-terangan. Tetapi mengapa baginda tetap melakukannya secara bersembunyi.

• Jika dikaji secara saksama, da’wah yang disampaikan oleh baginda pada peringgkat permulaan ini (pada waktu belum mempunyai daulah) adalah da’wah yang dikembangkan secara fikriyyah (Pemikiran) tanpa ada sedikitpun kekerasan, kerana pada waktu itu, Islam merupakan suatu perkara yang asing didalam kehidupan jahiliah.
• Didalam sebuah riwayat menyebutkan bahawa Rasulullah S.A.W pada permulaan da’wah, saat bersama Isteri baginda Siti Khadijah pernah diancam bunuh oleh Abu Jahal tatkala baginda S.A.W solat secara terang-terangan didepan Ka’bah dan secara terang-terangan juga mencela patung-patung berhala kaum Quraisy. Apa yang dilakukan oleh baginda Rasulullah ini adalah untuk menarik perhatian kaum Quraisy agar berfikir tentang hakikat sebenar berhala yang mereka sembah.


Ulasan 1

Daripada rentetan sejarah dan juga penerangan yang dikemukakan diatas ini sudah menjadi kemakluman atas setiap kaum muslimin tentang perihalnya perjalanan da’wah secara sembunyi pada tahapan pembinaan dan pengkaderan (Marhalah Tasqif) Rasulullah S.A.W. Berdasarkan tahapan ini sahaja banyak hukum dan juga kaedah syar’i yang dapat diolah serta dijadikan pegangan, dimana da’wah Rasulullah S.A.W pada tahapan ini yaitu pada waktu Islam atau mabda’ Islam ini masih asing/lemah, baginda lebih tertumpu kepada aspek-aspek pembangunan Ruhiyyah dan juga Fiqriyyah dengan erti kata lain sahabat-sahabat yang beserta bersama baginda dikader dengan mabda’ (ideologi) Islam. Disamping itu baginda Rasulullah juga banyak menyerang aqidah dan juga Mabda’ jahiliah/kufr dengan serangan fikriyyah. Ianya jelas terbukti ketika mana Rasulullah S.A.W solat didepan Ka’bah serta mencerca tuhan-tuhan berhala golongan Quraisy secara terang-terangan dengan tujuan supaya mereka (golongan Quraisy) memikirkan apa yang telah diperkatakan oleh baginda tentang hakikat sebenar sembahan dan jalan hidup mereka. Pada tahapan pembinaan dan pengkaderan (Marhalah Tasqif) ini juga amat penting untuk melahirkan kader-kader/pendukung-pendukung yang mempunyai jati diri yang kental dalam menempuhi liku-liku da’wah ditahapan yang berikutnya iaitu (Marhalah Tafa’ul Wal Kiffah).





2. Tahapan Interaksi dengan Masyarakat dan Perjuangan (Marhalah Tafa’ul Wal Kiffah) atau da’wah secara terang-terangan

“Maka sampaikanlah secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan kepadamu dan berpalinglah dari orang-orang Musyrik” {Al-Hijr : 94}

• Pada tahapan ini, da’wah Rasulullah berubah dari sembunyi-sembunyi menjadi terang-terangan. Dari aktiviti mendekati Individu-individu kemudian dipersiapkan menjadi kutlah (kelompok) yang menyeru secara langsung dan terbuka kepada segenap masyarakat keseluruhannya.
• Sejak saat itu, maka bermulalah pertembungan antara kekufuran dengan keimanan, dan pertarungan antara pemikiran yang rosak dengan pemikiran yang benar.
• Penyiksaan keji terhadap orang-orang yang memeluk Islam banyak terjadi. <<>> Akhirnya dipuncak penderitaan ini, Rasulullah S.A.W berharap adanya orang kuat diantara para pengikutnya yang dapat melindungi perjalanan da’wah.
• Akhirnya dengan daya usaha baginda, Saidina Hamzah yang sangat disegani oleh kaum Quraisy memeluk Islam. Selang beberapa waktu kemudian Umar Al-Khattab yang juga merupakan orang yang digeruni dan disegani memeluk Islam.
• Baginda tidak pernah sekalipun mengangkat senjata untuk melawan pihak musuh walaupun ramai diantara pengikut baginda diseksa dan juga mati dijalan Allah.
• Pada tahapan ini da’wah Rasulullah S.A.W tertumpu kepada serangan pemikiran dimana baginda banyak menggugat mengenai aqidah, system, serta adat istiadat Jahilliah orang-orang kafir Mekah.

Diantara serangan-serangan pemikiran yang dilakukan oleh Baginda S.A.W terhadap kaum Quraisy.

a) Dalam masalah aqidah

“…orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami mendapati bapak-bapak kami menganut suatu agama dan sesungguhnya adalah pengikut jejak langkah mereka. (Rasul itu) berkata: Apakah kamu akan mengikutinya juga sekalipun aku membawa untukmu agama yang lebih nyata memberi petunjuk daripada apa yang kamu dapati dari bapak-bapak mu” {Az-Zukhru : 23-24}

b) Bidang sosial

“Dan apabila seseorang dari mereka diberi kabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya, dan dia sangat marah. Ia menyembunyikan dirinya dari orang banyak, disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan ataukah akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup) ?. Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu.” {An-Nahl : 58-59}

c) Bidang Ekonomi

“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya sebahagian besar dari orang-orang alim Yahudi dan rahib-rahib Nasrani benar-benar memakan harta orang dengan jalan batil dan mereka menghalang-halangi (manusia) dari jalan Allah. Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka, (bahwa mereka akan mendapat) siksa yang pedih,” {At-Taubah : 34}

Aktiviti ini membuat para tokoh pemimpin kafir Quraisy berkumpul di Darun Nadwah untuk merundingkan perilaku dan da’wah Rasulullah yang telah menyusahkan mereka serta menggoncang kepimpinan mereka. Lantas mereka menimbulkan isu, bahawa Muhammad memiliki kata-kata yang menyihir, yang dapat memisahkan seseorang dari isterinya, dari keluarganya, dan bahkan dari kaumnya. Akan tetapi, kemudian Allah S.W.T mengkhabarkan persekongkolan mereka.

“Sesungguhnya dia telah memikirkan dan menetapkan (apa yang ditetapkannya), maka celakalah dia! Bagaimana dia menetapkan?, kemudian celakalah dia! Bagaimanakah dia menetapkan?, kemudian dia memikirkan, sesudah itu dia bermasam muka dan merengut, kemudian dia berpaling (dari kebenaran) dan menyombongkan diri, lalu dia berkata: "(Al Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dipelajari (dari orang-orang dahulu), ini tidak lain hanyalah perkataan manusia." Aku akan memasukkannya ke dalam (neraka) Saqar.” {Al-Muddatsir : 18-26}

• Setelah bapa saudara baginda iaitu Abu Thalib Wafat, Rasulullah berusaha mencari pendukung ke kota Tha’if. Tetapi usaha baginda tidak berhasil bahkan disambut dengan penghinaan dan lemparan batu.
• Baginda juga menyeru pemuka-pemuka kabilah Arab dengan berkata kepada mereka, “Ya Bani Fulan ! Saya adalah utusan Allah bagi kalian, dan menyeru kepada kalian untuk beribadah kepada Allah dan tidak menyekutukan Allah, dan agar kalian meninggalkan apa yang kalian sembah, agar kalian beriman kepadaku dan percaya kepadaku, dan agar kalian membela dan melindungiku, sehingga aku dapat menjelaskan apa yang telah disampaikan Allah kepadaku”

Dalam sirah Ibnu Hisyam diriwayatkan, “Zuhri menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W mendatangi secara peribadi Bani Kindah, akan tetapi mereka menolak baginda. Baginda juga mendatangi bani Kalban, akan tetapi mereka menolak. Baginda mendatangi Bani Hanifah, dan meminta kepada mereka pertolongan (Nusrah) dan kekuatan, namun tidak ada orang arab yang lebih keji penolakannya terhadap baginda kecuali Bani Hanifah. Baginda juga mendatangi Bani Amir Bin Sha’sha’ah, mendoakan mereka kepada Allah dan meminta kepada mereka secara peribadi. Kemudian berkatalah seorang laki-laki dari mereka yang bernama Baiharah Bin Firas, “Demi Allah, seandainya aku mengabulkan pemuda Quraisy ini, sungguh orang Arab akan murka”. Kemudian dia berkata, “Apa pendapatmu jika kami membai’at mu atas urusan kamu, kemudian Allah memenangkanmu atas orang-orang yang menyelisihi mu. Apakah kami akan diberi kekuasaan setelah engkau?”. Baginda berkata kepadanya “Urusan (kekuasaan) ini hanyalah milik Allah, yang dia berikan kepada siapa yang dikehendaki”. Baiharah berkata, “Apakah kami menyerahkan leher kami kepada orang Arab, padahal jika Allah memenangkan kamu urusan (kekuasaan) itu bukan untuk kami. Kami tidak mahu berurusan dengan mu”.

• Baginda RasulullahS.A.W juga aktif menda’wahi kabilah-kabilah di sekitar Mekah. Baginda juga mendatangi kabilah-kabilah di luar Mekah yang datang setiap tahun ke Mekah dan menda’wahi mereka dijalan-jalan, pasar ukadz dan mina.
• Sehinggalah pada suatu ketika pada Musim haji datang segerombolan dari suku Aus dan Khazraj dari Yatrib (Madinah).
• Kesempatan ini Baginda manfaatkan untuk menyampaikan da’wah, sehinggakan ketika rombongan ini mendengar ajakan Rasulullah S.A.W, mereka berpandangan diantara satu sama lain sambil berkata “Demi Allah, dia ini seperti nabi yang diberitahu orang-orang Yahudi kepada kami”


Dalam sirah Ibnu Hisyam diriwayatkan, setelah mereka menerima Nusrah Rasulullah S.A.W sambil berkata “Kami tinggalkan kamu disana dan tidak ada pertentangan serta permusuhan antara kaum kami dengan kaum yang lain, mudah-mudahan Allah S.W.T mempertemukan mereka dengan mu. Kami akan sampaikan berita ini kepada mereka, dan bila Allah mempertemukan mereka dengan mu dan menerima da’wah mu, maka tidak ada lagi orang yang paling mulia dari mu”

• Menjelang kedatangan tahun yang berikutnya dan bermulanya musim haji, dua belas lelaki dari madinah bertemu Baginda di Aqabah. Mereka membai’at kepada Rasulullah dan peristiwa ini akhirnya dikenali sebagai Bai’atu Aqabah. Isi bai’at tersebut “Tidak menyekutukan Allah, tidak mencuri, tidak berzina dan tidak membunuh anak kecil, tidak berbohong serta tidak menentang Rasulullah dalam perbuatan ma’ruf” {HR Bukhari)
• Setelah bai’at tersebut, mereka kembali semula ke Madinah bersama utusan Rasul, iaitu Mus’ab bin Umair untuk mengajarkan Al-Quran dan hukum agama. Pada tahun berikutnya, Mus’ab kembali ke Mekah bersama tujuh puluh lima orang Madinah yang telah memeluk Islam. Dua diantaranya adalah wanita dan mereka membai’at Baginda yang akhirnya bai’at tersebut dikenali sebagai Bai’atul Aqabah II atau Bai’atul Harb (Bai’ah Perang).
• Baginda melantik dua belas orang untuk menjadi pemimpin qabilah masing-masing. Abbas bin Ubadah yang merupakan salah seorang daripada mereka berkata kepada Rasulullah:

“Demi Allah yang mengutus mu dangan kebenaran, bila engkau mengizinkan, kami akan perangi penduduk Mina esok pagi dengan pedang-pedang kami”.

Baginda menjawab:

“Kita belum diperintahkan untuk itu, dan lebih baik kembalilah ke kenderaanmu masing-masing”


Ulasan 2

Dalam marhalah kedua ini (Marhalah Tafa’ul Wal Kiffah) gerak kerja da’wah Rasulullah dan para Sahabat lebih tertumpu dalam bentuk Kutlah (kelompok/jemaah) yang menyampaikan da’wah Islam secara terang-terangan dengan seruan-seruan untuk menegakkan kema’rufan (Al-haq) dan mencegah kemungkaran. Walaupun begitu kaedah yang digunakan masih tetap sama, iaitu serangan secara pemikiran (fikrah) keatas mabda’ kufr. Serangan-serangan yang dilakukan tersebut kesemuanya lebih tertumpu pada keseluruhan aspek-aspek kehidupan serta system jahiliah/kufr yang bercanggahan dengan kehidupan Islam baik Dalam masalah aqidah, Bidang sosial, Bidang Ekonomi dan sebagainya.

Perkara ini telah menimbulkan kemarahan yang membuak-buak kaum Quraisy keatas perjalanan da’wah Baginda, kerana setiap apapun yang dianjurkan oleh baginda Rasulullah beserta kutlahnya pasti bertentangan dengan amalan atau system jahiliah/kufr yang diamalkan pada masa itu. Bahkan baginda sekali-kali tidak pernah bersekongkol dengan system/kaedah kufr tersebut, apa yang dilakukan Baginda adalah sebaliknya, system tersebut ditolak dan ditentang habis-habisan oleh baginda sendiri. Ianya terbukti saat kafir Quraisy mendatangi Rasulullah dengan menawarkan pangkat, harta dan wanita tetapi dengan syarat baginda meninggalkan da’wah dijalan Allah. Tetapi ternyata tawaran tersebut ditolak oleh baginda mentah-mentah padahal jika difikirkan secara logik, adalah lebih baik bagi Rasulullah menerima sahaja jawatan kekuasaan tersebut dan setelah berkuasa, baginda boleh menginggkarinya, dan berda’wah semula dengan lebih mudah pada saat kekuasaan sudah berada ditangannya.


Oleh kerana ketegasan baginda inilah (tidak memanfaatkan system kufr yang ada) menyebabkan penentangan-penentangan kaum Quraisy terhadap perjalanan da’wah baginda serta beserta kutlahnya menjadi semakin keras dan kejam. Berbagai tekanan fizikal dikenakan keatas baginda serta para sahabat sehinggakan ada diantaranya menemui syahid dijalan Allah. Jadi, bagi mengatasi masalah ini Rasulullah mula menggunakan suatu pendekatan untuk menarik seseorang yang mampu menjadi pelindung dengan erti kata lain menjadi orang kuat yang mampu melindungi perjalanan da’wah. Kaedah inilah yang dikenali sebagai THALABUN NUSRAH dimana kekuatan daripada nusrah tersebut dimanfaatkan bagi melangsungkan serta memudahkan perjalanan da’wah Islam. Akhirnya nusrah-nusrah ini membuahkan hasilnya dimana Saidina Hamzah dan juga Saidina Umar Al-Khattab <<>> memeluk Islam dan menjadi pelindung kepada da’wah baginda pada waktu itu walaupun hanya pada sesetengah aspek sahaja (tidak menyeluruh).

Setelah bapa saudara baginda iaitu Abu Thalib Wafat, Rasulullah beralih arah berusaha mencari dukungan yang mampu melindungi perjalanan da’wah dengan nusrah yang bersifat menyeluruh yang merangkumi segala aspek. Pada pendekatan ini, baginda lebih banyak menemui Kabilah-kabilah arab serta pembesar yang berpengaruh seperti perihalnya sewaktu baginda memohon nusrah ke kota Tha’if, Bani Kindah, Bani Kalban, Bani Hanifah, Bani Amir Bin Sha’sha’ah dan juga kabilah kabilah didalam serta diluar kota Mekkah.

Jika riwayat ini dikaji secara teliti, pada peringkat ini nusrah sebenar yang ingin diraih oleh baginda Rasulullah adalah didalam bentuk sebuah/sekelompok kekuatan besar yang mampu melindungi perjalanan da’wah Islam dan juga umat Islam itu sendiri dari segenap aspek. Kerana daripada apa yang telah dilakukan oleh baginda (menemui Kabilah-kabilah) ianya menjadi penguat, bahawa yang cuba diraih oleh baginda pada peringkat tersebut adalah sebuah dukungan penuh oleh sebilangan kelompok masyarakat yang mempunyai pengaruh dan kekuatan yang lebih besar berbanding nusrah yang diperolehi pada saat Saidina Hamzah dan juga Saidina Umar Al-Khattab memeluk Islam. Dari segenap penjuru dan dari segala kabilah yang ditemui, akhirnya tidak disangka-sangka dengan takdir Allah suku Aus dan Khazraj dari madinah menerima dengan baik nusrah yang ditawarkan baginda. Maka dari titik inilah perjalanan da’wah Islam dalam bentuk daulah/kenegaraan (Periode Madinah) bermula.


Kesimpulan

Begitulah perjalanan da’wah baginda Rasulullah S.A.W dalam mengembangkan da’wah dan juga mabda’ Islam sehingga di kemuncaknya sebuah institusi Islam yang besar dan kukuh yaitu Daulah Islam yang menjadi pelangsung kepada penyebaran Islam yang lebih meluas berbanding sebelumnya (saat belum mempunyai daulah) berjaya diraih. Ianya hanya terjadi saat baginda menemui suku Aus dan Khazraj (Ansar) yaitu dua buah suku terkuat dan berpengaruh di Madinah yang bersedia memberikan nusrah. Daripada peristiwa ini, dapat dipelajari bahawa sunnah Rasulullah dalam meraih nusrah itu lebih tertumpu pada kabilah-kabilah dan juga kutlah-kutlah yang berpengaruh serta mempunyai kekuatan dengan erti kata lain jika diaplikasikan pada waktu ini, kabilah-kabilah yang berpengaruh dan mempunyai kekuatan ini lebih sinonim dengan angkatan bersenjata atau yang serupa dengannya. Ini terbukti pada kabilah-kabilah yang telah ditemui Rasulullah, hampir kesemuanya adalah kabilah-kabilah yang handal dalam peperangan (kabilah perang) termasulah suku Aus dan Khazraj dari Madinah yang terkenal dengan sikap suka kepada peperangan. Secara faktanya juga, kekuasaan pemimpin-pemimpin sekular pada hari ini terletak pada angkatan bersenjata yang berjaya dibonekainya, kerana seperti apa yang kita sedia maklum, pemimpin-pemimpin sekular pada hari ini secara azalinya adalah seorang pemimpin yang pengecut serta tidak berani berjuang untuk negaranya sendiri, apatahlagi berjuang untuk agamanya, mereka lebih tunduk dan patuh dengan perintah AS berbanding perintah Rabbnya. Mereka angkuh hanya kerana adanya angkatan bersenjata yang berjaya dikambing hitamkannya. Selain golongan terbabit (angkatan bersenjata), golongan interlektual juga merupakan golongan yang berpotensi tinggi mampu memberikan nusrah keatas perjalanan da’wah.

Tetapi perlu di ingat, nusrah yang diraih oleh baginda adalah nusrah daripada pendukung-pendukungnya yang berkualiti baik dari segi aqidahnya mahupun fikrahnya. Kerana setiap individu mahupun kabilah yang menerima nusrah tersebut pasti akan melalui tahapan pembinaan dan pengkaderan (Marhalah Tasqif) iaitu tahapan membentuk sahsiah/jati diri seorang pendukung da’wah atau dengan erti kata lain setiap individu yang bersama-sama mendukung perjalanan da’wah Islam atau sesebuah kutlah Islam itu haruslah dikader dan dibentuk dengan mabda’ Islam melalui halaqah-halaqahnya tersendiri. Kerana terdapat petunjuk kuat yang menunjukkan selepas diterimanya nusrah (baik bersifat menyeluruh mahupun sebaliknya) individu/kabilah tersebut harus dikader atau dibentuk sahsiah dirinya, hal ini terbukti, apabila selepas temetrainya perjanjian Aqabah I, Rasulullah tidak terus memerintah Madinah, sebaliknya menghantar Mus’ab Bin Umair untuk mengajarkan penduduk Madinah ilmu Al-Quran dan Hukum Hakam Islam. Jadi, oleh kerana itulah titik permulaan bangunnya Daulah Islam pertama dimadinah mampu bertahan berabad lamanya kerana yang bernaung dibawahnya adalah pendukung-pendukung yang berkualiti hasil dari cetusan mabda’ yang diserap oleh baginda Rasulullah S.A.W sendiri melalui halaqah-halaqahnya.

Berbeza keadaannya pula dengan “sokongan”. Seperti yang kita fahami, didalam system Demokrasi yang diamalkan pada hari ini, sokongan hanya sekadar sebuah kepercayaan yang diberikan oleh sekelompok masyarakat kepada seseorang individu ataupun sesebuah kutlah untuk melangsungkan agenda-agenda/kehendak-kehendak tertentu mengikut apa yang dikehendaki masyarakat tersebut. Bahkan jika individu ataupun kutlah terbabit tidak melangsungkan dengan baik agenda-agenda/kehendak-kehendak masyarakat tadi, nescaya kepercayaan tersebut boleh ditarik kembali dan diserahkan kepada Individu/kutlah yang lain bagi menjayakannya. Maka dengan itu, individu/kutlah yang hendak diberikan kepadanya kepercayaan tersebut terkadang terpaksa berpura-pura dengan janji-janji manis untuk melaksanakan amanah tadi dengan baik semata-mata hanya untuk meraih sokongan daripada masyarakat terbabit walaupun amanah tadi tidak mampu dipikulnya. Hal ini memang menjadi kemakluman atas kita semua tentang perihalnya perkara ini, bahkan buktinya memang ada dan sering disajikan didepan mata kita sendiri saban tahun, terutamanya menjelang pemilihan pemegang amanah yang dikenali sebagai “pilihanraya”. Hal-hal begini pasti berlaku dikalangan individu/kutlah yang mencanangkan mabda’ selain Islam (sekular), dan ianya tidak menghairankan jika berlaku diatas mereka. Tetapi yang cukup menyedihkan, individu/kutlah yang mencanangkan mabda’ Islam akhirnya terpaksa akur mengikuti jejak yang diperlakukan individu/kutlah yang mencanangkan mabda’ selain Islam (sekular) dan terpaksa mengikut arus mereka yang terbit hasil dari system Demokrasi itu sendiri iaitu system yang memisahkan agama dari kehidupan (sekular).

Justeru jika diimbas kembali kepada perjalanan da’wah Rasulullah S.A.W, institusi yang diraih daripada dua buah suku dari Madinah tersebut adalah berlandaskan satu kaedah permohonan yang syar’i (Thalabun Nusrah) dan bukannya melalui jalan-jalan yang ditawarkan golongan Jahiliah/kufr Mekkah. Bahkan isikandungan Nusrah yang diraih hampir pada setiap kabilah-kabilah tersebut terdiri daripada kata-kata Rasulullah menyatakan kebenaran Islam atau kata-kata da’wah dan bukannya kata-kata rayuan atau meminta-minta belas kasihan keatasnya. “Ya Bani Fulan ! Saya adalah utusan Allah bagi kalian, dan menyeru kepada kalian untuk beribadah kepada Allah dan tidak menyekutukan Allah, dan agar kalian meninggalkan apa yang kalian sembah, agar kalian beriman kepadaku dan percaya kepadaku, dan agar kalian membela dan melindungiku, sehingga aku dapat menjelaskan apa yang telah disampaikan Allah kepadaku”. Bahkan, baginda Rasulullah S.A.W bukan sahaja berjaya meraih sokongan, malahan dukungan serta pengorbanan yang tidak berbelah bagi dikalangan pendukung yang telah dibentuk dengan marhalahnya sendiri.

Inilah yang dikatakan Thalabun Nusrah. Walaupun perjalanannya cukup panjang dan rumit, akan tetapi kebangkitan yang diperolehi hasil daripadanya adalah kebangkitan yang berkualiti dan mampu bertahan dengan segala dugaan yang mendatang. Tetapi ingatlah, sebesar-besar Nusrah itu adalah ummat yang mahu bersama-sama mendukung perjuangan Islam, kerana tanpa dukungan ummat tidak adalah kutlah, dan tanpa kutlah tidak adalah siyasah, dan tanpa siayasah tidak adalah Daulah, dan tanpa Daulah nescaya Nur/Sinar agama Allah ini akan tetap suram, ditindas dan terus ditindas selamanya.

WallahuA’lam
Segala yang baik itu datangnya Daripada Allah
Dan kekurangan serta kelemahan itu
Datangnya dari diri ana sendiri.

(Hasil sumbangan dari sahabat bloggerFisabilillah)

Rujukan ke2 HT Malaysia)
rujukan ke3 HT Indo)

No comments: